Tuesday, April 7, 2009

untuk tatapan bersama. . .

*Kepimpinan (refresh topik Kompetensi Kecerdasan Emosi sem3 PPISMP)
Siapakah yang dikatakan pemimpin?

Sesiapa sahaja yang menunjuk arah, memandu, dan membimbing ke arah mencapai sesuatu tujuan tertentu dapat dikatakan sebagai pemimpin. Di sekolah, selain daripada pengetua dan guru-guru, pengawas-pengawas sekolah, ketua-ketua darjah, ketua-ketua rumah sukan dan lain-lainnya juga merupakan pemimpin-pemimpin muda yang berpotensi. Mereka adalah individu yang diberi tanggungjawab untuk memandu dan membimbing orang lain, iaitu para pelajar lain, untuk mencapai kecemerlangan akademik, kemantapan disiplin, dan menerapkan nilai-nilai murni kepada para pelajar sesuai dengan budaya sekolah.
Bagaimana seorang pemimpin itu lahir di tengah-tengah masyarakat?
Biasanya, para pemimpin dilantik berasaskan ketokohan individu-individu tertentu daripada kalangan orang-orang yang berilmu pengetahuan tinggi, memiliki ketrampilan dalam sesuatu bidang tertentu, dan berpengaruh mungkin kerana kekayaannya atau disebabkan oleh karisma yang ada dalam dirinya. Sementara itu, pemimpin-pemimpin dalam bidang pentadbiran negara pula, dari peringkat nasional sehinggalah ke peringkat daerah dan kampung, dilantik berdasarkan kepada pengalaman, ilmu pengetahuan serta ketrampilan tokoh-tokoh berkenaan dalam bidangnya masing-masing, serta bakat kepimpinan yang telah ditunjukkan oleh mereka.

Asas-asas Kepimpinan

Peribadi atau sahsiah seseorang pemimpin itu biasanya dihubungkaitkan dengan kebijaksanaan. Seseorang pemimpin yang bijaksana adalah pemimpin yang memiliki kecerdasan yang baik. Dengan itu, dia dapat menggunakan budi bicaranya dengan adil dan saksama bagi kepentingan orang yang dipimpinnya.
Seorang pemimpin yang baik adalah pemimpin yang percaya kepada dirinya sendiri. Dia harus yakin terhadap apa yang difikirkannya, diucapkanya dan dilakukannya. Justeru itu, dia harus berdisiplin serta boleh diteladani. Di samping itu, dia juga harus pandai bergaul dan menyesuaikan diri dengan orang lain, tetapi disegani kerana keunggulan peribadinya.
Untuk menjadi pemimpin sesebuah kelab atau persatuan umpamanya, seseorang itu harus mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang lebih luas daripada yang lainnya serta mempunyai minat yang mendalam dalam bidang itu supaya dia berupaya member tunjuk ajar dan pimpinan yag berkesan.
Satu hal yang tidak kurang juga pentingnya bagi seorang pemimpin ialah dia harus sihat dari segi jasmani, emosi dan rohani. Dia harus memiliki kestabilan emosi, tabah dan sabar, tenang dalam menghadapi sebarang masalah atau cabaran serta tahu memilih dengan tepat mana yang harus didahulukan mengikut prioriti.
Pemimpin yang ideal adalah pemimpin yang mempunyai sifat terbuka. Dia harus suka berterus-terang; tidak menyembunyikan sesuatu sehingga menjadikan anggotanya menaruh perasaan syak wasangka. Selain itu, dia juga mudah dihubungi dan ditemui pada bila-bila masa oleh anggota untuk membincangkan sesuatu.

Kesimpulan

Secara ringkasnya, dalam sesebuah masyarakat moden sudah tentu kita tidak mahu melihat wujudnya pemimpin-pemimpin simbolik atau headmanship semata-matanya, khususnya di sekolah. Pemimpin seperti ini diwujudkan hanya sebagai perhiasan, tetapi tidak dapat menjalankan tugasnya sebagai pemimpin yang baik atau berkualiti. Kita juga tidak mahu melihat pemimpin agitator yang sifatnya suka memecahbelahkan perpaduan pelajar, antiestablishment dan suka melihat keadaan sekolah menjadi kacau-bilau. Sebaliknya, apa yang kita harapkan ialah lahirnya pemimpin pelajar yang karismatik, berpengaruh, yang bukan sahaja mempunyai keahlian atau ketrampilan, tetapi mempunyai keperibadian unggul sehingga dia diterima oleh semua orang.

No comments:

Post a Comment