Wednesday, April 15, 2009

Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Perkembangan Manusia

Baka
Baka atau “heredity” berasal daripada perkataan Latin “heres”. Le francois (1999) mengatakan baka ialah “The transmission of physical and personality characteristics and predispositions from parents to offspring.” Ini bermakna baka adalah melibatkan pemindahan sifat-sifat fizikal dan personaliti serta pembawaan daripada ibu bapa kepada anak-anaknya. Papalia et.al (2001) mengatakan baka ialah “...inborn influences on development, carried on the genes inherited from the biological parents…”.


  • Menurut Norman L. Munn, dalam Ee Ah Meng (1996) baka merupakan ciri-ciri yang diturunkan melalui ibu bapa kepada anak-anaknya melalui gen. Manakala R. Hilgard pula menyatakan bahawa baka ialah ciri-ciri biologi yang diturunkan melalui ibu bapa kepada anak-anaknya melalui gen. Amran Schienfed mengatakan bahawa baka menentukan persamaan antara ibu bapa dengan anak-anaknya, di kalangan ahli dalam satu kumpulan keluarga dari segi sifat-sifat seperti kebolehan , minat dan kawalan emosi.

    Sel Pembiakan Lelaki Dan Wanita
    Prinsip pewarisan telah diperkenalkan oleh Gregor Mendel pada tahun 1960-an. Beliau berpendapat bahawa, dalam badan manusia dan tumbuh-tumbuhan terdapat dua jenis tret yang berbeza, iaitu tret dominan dan tret resesif. Sel-sel pembiakan berbeza daripada sel tubuh lain yang mana sel pembiakan hanya mempunyai satu fungsi khusus, iaitu menyalurkan hayat atau keturunan dari satu generasi ke satu generasi berikutnya melalui penyatuan di antara sel-sel pembiakan pasangan yang berlawanan jantina iaitu lelaki dan perempuan. Dengan kata lain, percantuman antara sperma dengan telor (ovum) akan menghasilkan zigot dan seterusnya menyebabkan berlaku pertambahan sesuatu keturunan.

  • Sel-sel pembiakan lelaki, iaitu sperma yang dihasilkan oleh testis, iaitu organ seks lelaki. Dalam sejarah kehidupan seorang lelaki, bahkan sebelum ia dilahirkan, sebahagian tisunya telah diasingkan dan berkembang untuk menjadi sperma dan seterusnya dapat menentukan jantina seseorang bayi yang bakal dilahirkan nanti. Tisu yang istimewa ini juga berkembang menjadi testis dalam tubuh seorang anak lelaki. Walau bagaimanapun semasa kanak-kanak, sel pembiakan sudah wujud dalam testis, tetapi belum mencapai peringkat kematangan. Apabila anak lelaki membesar menjadi dewasa, sel-sel pembiakan akan menjadi matang terutamanya bila ianya mencapai akil baligh. Justeru itu, sel pembiakannya menjadi matang dan membolehkan lelaki tersebut menjadi seorang ayah.

  • Manakala bagi seorang wanita, sel-sel pembiakan atau ovum dihasilkan oleh pundi telur dalam ovari. Setiap wanita mempunyai dua ovari, iaitu satu di kanan dan satu di kiri. Perkembangan sel-sel pembiakan wanita sama juga dengan lelaki, yang mana sel-sel pembiakan akan menjadi matang bila wanita berkenaan akil baligh atau remaja. Hormon akan mempengaruhi telur di dalam ovari. Hanya satu telur sahaja yang akan terhasil dan dikeluarkan pada setiap bulan. Sekiranya ia tidak bercantum dengan sperma, maka, telur tersebut akan dikeluarkan bersama-sama darah perempuan yang dinamakan darah haid. Oleh itu, sekiranya telur yang bergerak melalui saluran fallopian menuju ke rahim lalu bertemu dan bersenyawa dengan sperma semasa proses persenyawaan, maka, ia akan tertanam di dinding rahim untuk memulakan hayat baru yang dinamakan zigot.

    Kromosom Dan Gen
    Kita mengetahui bahawa badan kita terbina daripada berjuta-juta sel. Dalam sel ini terdapat pusat aktiviti yang disebut sebagai nukleus. Dalam nukleus pula terdapat kromosom yang mengandungi gen dan gen inilah yang mengawal sifat kita. Sebagai contoh, ia mengawal rambut seseorang sama ada kerinting atau tidak. Gen juga merupakan bahan baka yang membawa maklumat genetik yang terletak dalam kromoson. Jika dilihat menerusi mikroskop, kromosom adalah struktur bebenang dalam nukleus sel.

  • Manusia boleh hidup dan membiak kerana selnya boleh membahagi dua yang dikenali sebagai mitosis dan meiosis. Mitosis berlaku pada seluruh anggota badan dan menyebabkan kita membesar setiap hari. Bilangan kromosom yang terhasil tetap sama dengan gen asal yang kadang kala digelar gen induk. Meiosis pula berlaku dalam testis atau ovari untuk menghasilkan sperma atau ovum. Bilangan kromosom dalam sperma ialah separuh dari bilangan sel induk. Manusia mempunyai 23 kromosom iaitu separuh dari kromosom sel induk yang ada 46 kromosom.

    Terdapat banyak perbezaan antara mitosis dan meiosis. Antaranya ialah :
    Mitosos
    a. Berlaku dalam sel soma
    b. Untuk pertumbuhan fizikal
    c. Menghasilkan 2 "sel anak" setiap pembahagian
    d. Tidak menyebabkan variasi

    Meiosis
    a. Berlaku dalam organ pembiakan (testis/ovari)
    b. Untuk pembentukan sel gamet (sperma/ovum)
    c. Menghasilkan 4 "sel anak"
    d. Menyebabkan variasi

    Pewarisan Sifat
    Saintis telah mengetahui bahawa kebiasaannya organisma mempunyai sepasang kromosom yang membawa sepasang gen. Gen-gen ini mungkin sama atau berbeza. Terdapat dua jenis gen iaitu gen dominan dan gen resesif. Gen dominan ialah gen yang kuat dan mampu menonjolkan cirinya pada organisma. Gen resesif adalah gen yang lemah. Ia tidak boleh menonjolkan cirinya jika berjumpa dengan gen dominan. Gen resesif hanya boleh menonjolkan cirinya jika ia berjumpa dengan pasangan gen resesif yang sama. Gen dominan akan mengakibatkan sifat dominan. Berdasarkan kajian saintifik, beberapa contoh sifat dominan manusia ialah seperti sifat rambut kerinting dan kebolehan menggulung lidah. Sifat resesif pula adalah seperti sifat rambut lurus dan tidak boleh menggulung lidah. Persoalannya, bagaimanakah sifat-sifat ini boleh diperturunkan dari ibu bapa kepada anak?.
    Sel manusia mempunyai 46 kromosom (23 gen yang berpasangan). Sperma dan ovum yang terhasil dari meiosis hanya mengandungi 23 kromosom sahaja. Jika sperma membawa gen yang mengawal sifat rambut kerinting (dominan) mensenyawakan ovum yang membawa sifat rambut lurus, maka anak yang terhasil akan berambut kerinting.

    Struktur kromosom dalam gamet :-
    Sperma Ovum
    22+X atau 22+Y 22+X sahaja

    Kromosom X dan kromosom Y digelar sebagai "Kromosom Seks". Kromosom ini menentukan jantina seseorang.

    Kejadian Kembar
    Proses persenyawaan berlaku apabila sebiji ovum disenyawakan oleh 'seekor' sperma yang akan menghasilkan zigot yana mana ianya pula membesar sebagai fetus didalam uterus ibu. Pada kebiasaanya hanya satu zigot terhasil dari persenyawaan. Ini adalah kerana pada kebiasaannya wanita menghasilkan sebiji ovum setiap bulan dan sekiranya ia tidak disenyawakan maka ia akan dikeluarkan bersama dengan darah haid.

  • Walau bagaimanapun kadang kala lebih dari satu fetus terbentuk. Kejadian yang menakjubkan ini akan menghasilkan kembar. Pada asasnya terdapat 3 jenis kembar. Kembar itu ialah kembar seiras (identical twins) dan kembar tak seiras (non-identical) dan kembar siam (siamese twins).Berikut merupakan perbezaan kembar seiras dan tak seiras. Jadual dibawah akan menerangkannya dengan jelas :

    SEIRAS
    *satu ovum disenyawakan oleh 1 sperma, zigot yang membahagi 2.
    *mempunyai kandungan genetik sama.
    *ciri fizikal sama.
    *berkongsi plasenta.
    *jantina mesti sama.

    TAK SEIRAS
    *2 ovum disenyawakan oleh 2 sperma berbeza.
    *mempunyai kandungan genetik berbeza.
    *ciri fizikal (paras rupa) berbeza.
    *plasenta berasingan.
    *jantina mungkin sama atau berbeza.

    Kembar yang satu lagi ialah kembar siam (Siamese Twins). Kembar siam berpunca dari kejadian kembar seiras. Fetus yang membahagi dua kadangkala tidak berpecah sepenuhnya. Oleh itu kembar itu bercantum pada bahagian tertentu seperti pada dada atau sisi.

    Mutasi
    Semasa proses pembahagian sel, terdapat beberapa kes di mana terdapat kecacatan pada sel. Kejadian ini digelar sebagai mutasi. Mutasi boleh mempengaruhi kehidupan organisma. Mutasi berlaku apabila struktur gen atau kromosom berubah secara spontan. Para saintis genetik telah mengenalpasti 2 jenis mutasi iaitu mutasi gen dan mutasi kromosom. Mutasi gen berlaku apabila bahan kimia DNA berubah. Perubahan ini akan menyebabkan ciri organisma berubah. Mutasi kromosom pula berlaku apabila bilangan kromosom berubah. Kita telah mengetahui bahawa manusia mempunyai 46 kromosom. Gamet yang terdiri daripada sperma atau ovum pula mempunyai 23 kromosom. Jika mutasi kromosom berlaku, sperma atau ovum mungkin membawa 22 atau 24 kromosom. Anak yang terhasil dari persenyawaan gamet ini akan mempunyai ciri yang amat berbeza dari ibu bapa. Jadual dibawah adalah perbezaan antara kedua-dua mutasi tersebut :

    MUTASI GEN
    * Bahan kimia dalam gen berubah.
    * Cth penyakit :
    * Albino (kulit putih), Anemia sel sabit (kelihatan pucat), Hemofilia (darah tidak dapat membeku) , Buta warna.

    MUTASI KROMOSOM
    * Bilangan atau susunan kromosom telah berubah.
    * Cth penyakit :
    * Sindrom Down (mongolisme), Sindrom Kliffer (testis kecil).


    Setakat ini para saintis sungguh berminat untuk mengkaji tentang faktor yang menyebabkan mutasi. Antara faktor yang telah dikenalpasti ialah pengaruh bahan kimia beracun dan sinaran radioaktif. Pada masa yang sama saintis juga menggunakan pengetahuan ini untuk menghasilkan baka organisma baru menggunakan proses ‘mutasi buatan’. Contohnya saintis bidang pertanian telah berjaya menghasilkan jagung yang tahan penyakit. Ini dinamakan pembiakbakaan. Pembiakbakaan adalah merupakan satu bidang dalam penyelidikan genetik. Negara kita bergiat cergas dalam aktiviti penyelidikan genetik
  • No comments:

    Post a Comment